Tuesday 13 December 2011

Minda Jutawan Trump Sebagai Usahawan (Episod 1)

www.majalahniaga.com

Trump mencatatkan  di dalam bukunya Trump : Think Like A Billionaire,

“ Di dalam dunia yang mempunyai enam bilion manusia, hanya terdapat 587 bilionair. Ia adalah sebuah kelab yang amat eksklusif. Adakah anda ingin menyertai kami?”

Berbicara tentang ikon dunia bernama Donald J. Trump ini, pasti tidak dapat dipisahkan dengan kekayaan dan status beliau sebagai seorang jutawan bertaraf bilionair. Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang ikon dunia dalam perspektif kekayaan dan jutawan.

Maka, musim kedua artikel pengkajian Donald Trump akan berkisar tentang minda beliau sebagai seorang jutawan, dalam sudut sebagai seorang usahawan. Bertepatan dengan konsep Majalah Niaga yang ruang lingkupnya adalah keusahawanan dan perniagaan.

Usahawan Tidak Semestinya Jutawan

Diketahui umum, menjadi seorang usahawan adalah antara jalan terbaik untuk seseorang itu menikmati kebebasan kewangan, dengan kaya-raya serta mencapai status seorang jutawan. Namun begitu, menjadi seorang jutawan bukan keutamaan apabila seseorang itu memulakan kehidupan sebagai seorang usahawan.

Namun, tanpa sedar dan secara tersirat. Keinginan menjadi seorang jutawan pasti terselit jua di sudut hati.



Jurulatih kewangan peribadi nombor satu dunia, Robert Kiyosaki turut meletakkan mereka yang bergelar seorang usahawan sebagai seorang jutawan pada masa hadapan, jika menepati syarat kuadran B (Perniagaan Besar).

Malahan, Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad’s Cashflow Quadrant: Guide to Financial Freedom turut menegaskan, mereka yang bekerja makan gaji iaitu kuadran E dan bekerja sendiri di kuadran S kurang berpotensi menjadi seorang jutawan dengan kebebasan kewangan, berbanding mereka yang berada di kuadran B.

Malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai yang menceburi bidang keusahawanan akhirnya berakhir dengan kemelaratan hidup akibat hutang-piutang, kehabisan modal, tergadai seluruh harta benda dan sebagainya. Lebih malang lagi, sampai ada yang bercerai-berai akibat kemelaratan hidup.

Akibat Gagal, Mereka Menyalahkan Bidang Keusahawanan

Kesan jangka panjangnya, ramai yang menyalahkan bidang keusahawanan menyebabkan mereka hidup semakin susah. Jika sebelum ini mereka bekerja dan menikmati gaji setiap bulan. Kini, keadaan jauh berbeza. Hidup semakin melarat apabila wang semakin sukar diperolehi.

Setiap penghujung bulan, tiada jaminan wang akan diterima tetapi yang pasti, banyak wang yang diperlukan untuk menyelesaikan segala pembayaran wajib seperti sewa premis, gaji kaki tangan, hutang piutang dengan pembekal dan sebagainya.


Jika begitu, bagaimanakah seseorang itu mampu menikmati kebebasan kewangan dengan hidup sebagai seorang usahawan?

Mengapa pula, sebahagian besar mereka yang melibatkan diri sebagai seorang usahawan gagal menikmati kebebasan kewangan. Sebaliknya, semakin melarat hidup yang dilalui?

Ada juga yang mempersoalkan kenapa perniagaan yang dijalankan membawa dirinya kepada kegagalan, meskipun segala teori dan pratikal menjalankan perniagaan yang diberikan telah diikuti sebaik mungkin.
Jika ini yang berlaku kepada seorang usahawan. Mungkin tiba masa untuknya merenung kembali program yang terdapat dalam minda bawah sedarnya.

Menguruskan Minda Separa Sedar Usahawan

Apakah perisian-perisian yang telah dimasukkan ke dalam minda separa sedar sehingga wang tidak mahu mendekati diri?

Kebanyakan usahawan tidak sedar, mereka telah memasukkan perisian-perisian yang salah ke dalam program minda separa sedar mereka. Lantas, minda separa sedar mereka bertukar menjadi minda kemiskinan, bukannya minda jutawan. Contoh perisian-perisian yang salah dan bertentangan dengan matlamat itu  adalah saranan-saranan berbaur negatif seperti:
“Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kita harus gagal terlebih dahulu”
“Sudah lumrah, setiap jutawan akan mengalami kemiskinan yang sangat teruk sebelum mengecapi kekayaan”
“1/10 dari perniagaan yang baru bermula akan mengalami kegagalan. Itu perkara biasa untuk semua usahawan”
“Dua tahun terawal perniagaan merupakan detik penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan. Jika anda dapat bertahan selepas dua tahun, itu petanda baik perniagaan anda akan berdaya maju”
 Saranan-saranan sebegini sudah biasa dilafazkan, baik secara luaran atau dalaman oleh seseorang usahawan. Ini terjadi kerana kata-kata di atas selalu dijadikan azimat oleh pakar motivasi, sejak zaman-berzaman untuk mendorong kejayaan seorang usahawan.

Persoalannya, benarkah begitu? Mengapa peratusan kegagalan menikmati kebebasan kewangan yang melibatkan keusahawanan sentiasa tinggi?

Jawapannya kerana saranan-saranan motivasi itu merupakan satu bentuk arahan yang diterima oleh minda separa sedar, agar ia bekerja dengan matlamat mencapai apa yang terkandung di dalam saranan tadi. Apakah yang terkandung dalam saranan itu tadi? Mari kita perhatikan bersama-sama.

1. ” Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kita harus gagal terlebih dahulu”
2. ” Sudah lumrah, setiap jutawan akan mengalami kemiskinan yang sangat teruk sebelum mengecapi kekayaan
3. “1/10 dari perniagaan yang baru bermula akan mengalami kegagalan. Itu perkara biasa untuk semua usahawan”
4. “Dua tahun terawal perniagaan merupakan detik penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan. Jika anda dapat bertahan selepas dua tahun, itu petanda baik perniagaan anda akan berdaya maju”

Dapatkah anda perhatikan bagaimana saranan-saranan motivasi ini adalah satu pembunuh senyap kepada diri untuk menjadi seorang jutawan.

Kata-kata indah motivasi keusahawanan yang biasa didengar ini, rupanya menjadi dinding yang akan sentiasa menghalangi wang datang kepada seseorang yang menjadi usahawan.

Anda hentikan pembacaan artikel ini sebentar, hayati kembali semula ke empat-empat azimat indah motivasi keusahawanan yang biasa dilafazkan itu.

Apakah yang dapat dirungkaikan bersama?

AKAN BERSAMBUNG..... (www.majalahniaga.com)

0 comments: